Sekolah adalah institusi penting dalam pembentukan
nilai kerana para pelajar menghabiskan masa selama enam hingga lapan jam
sehari di situ. Para pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang
mempelajari nilai-nilai baru setiap hari dalam aktiviti yang dilakukan bersama.
Mereka belajar tentang peraturan, menghormati, kasih sayang, etika dan
kerjasama melalui silibus pendidikan yang dibentuk secara berhati-hati, diajar
oleh guru yang terlatih dan melalui proses komunikasi setiap hari. Perkara
pokok dalam pembentukan nilai ini ialah pendidikan nilai tidak boleh dihalang
oleh sesiapa sahaja walaupun ia cuba berbuat demikian. Sebaliknya nilai ini
perlu didedahkan dengan sebaik-baiknya.
Kita dapat lihat bahawa kepentingan pendidikan dan persekolahan sebagai
institusi sosial yang membentuk nilai-nilai kedalam jiwa remaja kita. Teori ini amat disokong kuat oleh Narol (1983) yang
mengemukakan Teori Moral Order.
Beliau menganggap masalah sosial yang berlaku boleh diatasi jika wujud moral
order atau tatacara moral yang mempengaruhi situasi dan mendasari segala
masalah sosial manusia. Oleh itu institusi sekolah berperanan menegakkan moral
order ini khususnya golongan remaja. Sekolah sebagai institusi pendidikan
formal merupakan agen yang bertanggungjawab memindahkan nilai-nilai masyarakat
kepada kanak-kanak dan generasi muda.
Bagi saya, kekuatan dan kehebatan sesuatu masyarakat dan
negara banyak bergantung kepada perubahan nilai yang berlaku. Mahu ataupun
tidak, pendidikan adalah faktor utama bagi membina dan menanam nilai-nilai
positif yang akan mendorong kepada kemajuan sosial negara. Pendidikan yang
dilihat sebagai agen perubahan sosial wajar berkembang selari dengan perubahan
ekonomi, politik dan teknologi semasa supaya nilai-nilai yang sedia ada boleh
ikut selari dengan perubahan-perubahan tersebut.
Golongan muda harus didedahkan dengan nilai-nilai
yang baik dan diterima oleh masyarakat sejak kecil lagi. Walaupun keluarga
adalah penentu masa depan anak-anak, dengan peningkatan masalah sosial hari ini
yang melibatkan remaja, timbul persoalan sama ada keluarga mempunyai cukup
kekuatan bagi membentuk adab dan akhlak yang mulia pada anak-anak. Di sinilah kerajaan juga harus memainkan peranan didalam membantu mengatasi masalah sosial ini melalui pendidikan formal & tidak formal, memberi
penguatkuasaan dan merancang tindakan penambahbaikan serta pemulihan.
Spunky Sally
No comments:
Post a Comment