Wednesday, March 27, 2013

Penambahbaikan Sekolah

Pada masa kini, banyak negara di seluruh dunia sedang bergelut dengan reformasi, transformasi, penambahbaikan untuk mengubah sistem pendidikan mereka bagi memenuhi tuntutan kualiti dan prestasi pelajar.Walaupun terdapat banyak penyelidikan dalam bidang sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah mencadangkan kepada kita tentang cara mengubah seluruh sistem sesebuah sekolah supaya menjadi lebih baik, tetapi jelas di sini bahawa dengan mengubah seluruh sistem pendidikan sesebuah sekolah pada satu-satu masa tidak lagi membantu dalam peningkatan prestasi sebaliknya menimbulkan banyak masalah. 

Selain itu, mengaplikasi strategi-strategi yang dipinjam daripada tempat lain juga belum boleh menjanjikan kejayaan disekolah kita. Strategi yang berjaya di sekolah A tidak semestinya sesuai bagi sekolah B.

Bagi saya apa yang penting ialah semangat pemimpin yang tidak akan pudar dan tidak cepat berasa berpuas hati dengan apa jua pencapaian yang diperolehi.Usaha harus dijalankan secara berterusan. Dari sudut pandangan saya, isu kritikal dalam pelaksanaan penambahbaikan sekolah ini harus dibawa kepada pertimbangan untuk pelaksanaan pendekatan pembinaan kapasiti (capacity building) dalam institusi pendidik. Pembinaan kapasiti atau pembangunan kapasiti (capacity building) adalah satu pendekatan konsep pembangunan yang memberi tumpuan kepada usaha-usaha bagi memahami bentuk halangan yang mengganggu institusi pendidikan dalam merealisasikan matlamat pembangunan mereka dan pada masa yang sama membantu peningkatan keupayaan yang akan membolehkan pencapaian institusi dapat diukur bagi menghasilkan keputusan yang mampan.Ini secara tidak langsung akan membantu perubahan di dalam sesebuah institusi pendidikan.

Pembinaan kapasiti dapat dilaksanakan melalui amalan bergotong-royong iaitu guru-guru bekerja bersama-sama untuk membangunkan amalan pengajaran yang berkesan. Komitmen yang tinggi ini juga membantu mereka meningkatkan amalan-amalan yang lain serta mampu membangunkan profesionalisme mereka sendiri. Bagi diri saya, kesan yang besar terhadap pembelajaran pelajar akan berlaku apabila guru-guru sendiri menjadi pelajar terhadap bidang pengajaran mereka. Dalam usaha meningkatkan standard prestasi pelajar di sekolah secara berterusan, telah terbukti bahawa komuniti pembelajaran profesional merupakan komponen penting di dalam usaha untuk menjayakan pelaksanaan sesuatu reformasi pendidikan.

Peningkatan dalam standard prestasi pelajar amat bergantung kepada sokongan dan usaha secara berterusan untuk melakukan penambahbaikan terhadap kemahiran profesional guru terutama dalam aspek pengajarannya.Ini memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi menjayakan sebarang reformasi pendidikan yang sudah tentu ini akan membantu menyediakan pelajar-pelajar kita bagi menghadapi masa depan yang semakin mencabar.


No comments:

Post a Comment